Thursday, April 02, 2009

Perpisahan terasing..

  • ini adalah percubaan pertama saya di dalam penulisan...diharap sudi memberi kritikan, pandangan, cadangan agar saya dapat memperbaikinya lagi...sekian..
Saya masih ingat lagi awak, kali pertama kita berjumpa. Waktu itu, saya tidak pernah kenal siapa diri awak, dari mana asal usul awak, siapa nama awak, dan segalanya tentang diri awak. Saya hanyalah seorang insane biasa, yang tiada kelebihannya berbanding dengan wanita-wanita yang lain. Namun, sejak perkenalan itu, kita menjadi rapat. Awak ingat lagi tak, pada awalnya awak seorang sahaja yang memanggil nama saya Syafiqa. Sedangkan kawan-kawan yang lain memanggil nama saya dengan nama Aryana. Tetapi, bila awak sedar, hanya awak sahaja yang memanggil nama saya Syafiqa, terus awak tukar panggil saya Aryana kerana awak segan. Segan sekiranya kawan-kawan kita yang lain memikirkan kita yang bukan-bukan. Tetapi saya tak pernah kisah itu semua. Bagi saya tiada apa pada nama. Walau Aryana mahupun Syafiqa, kedua-duanya tetap nama saya. Siti Aryana Syafiqa. Nama yang indah bagi saya pemberian ayah dan ibu tercinta.

Di awal perkenalan, awak hanya menganggap saya seperti adik awak sahaja. Mungkin kerana karakter saya yang agak lincah dan bersahaja membuatkan awak merasa saya seperti seorang anak kecil. Tetapi pada hakikatnya kita hampir sebaya dan kita juga menuntut di institusi yang sama di dalam jurusan yang sama. Awak begitu mengambil berat tentang diri saya. Terutamanya tentang pelajaran dan keselamatan. Memang awak berusaha memainkan peranan awak sebagai seorang abang yang prihatin akan adiknya. Awak selalu menghantar sms untuk bertanya khabar sewaktu cuti semester. Mungkin kerana jarang dapat berjumpa, membuatkan awak selalu bertanya khabar tentang diri saya. Awak terlalu penyayang dan terlalu mengambil berat. Adakah saya ini penting dalam hidup awak. Atau sekadar penghibur dikala awak berduka. Saya bukan pelawak yang sentiasa menghiburkan orang, tetapi hanya manusia biasa sahaja awak. Manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan.

Tetapi tidak dinafikan, saya berasa selesa sangat dengan keprihatinan awak terhadap diri saya. Saya berasa bahagia dan gembira bila ada awak di sisi saya. Saya juga mengakui semakin lama saya berasa semakin sayang kepada awak. Saya tidak mahu awak menganggap saya sekadar adik awak sahaja. Tetapi lebih dari itu. Mungkin sudah jodoh kata orang, rupanya saya tidak bertepuk sebelah tangan. Dalam diam, awak turut menyayangi saya bukan sekadar sebagai seorang adik tetapi sebagai kekasih hati awak. Akhirnya, awak mengucapkan kata sayang kepada saya. Mulai sejak itu, kita mengisytiharkan diri kita sebagai sebuah pasangan yang bahagia. Waktu itu, saya gembira sangat awak. Kerana tidak sangka yang awak turut menyayangi diri saya.

Pada bula pertama kita bercinta, saya bahagia sekali. Awak selalu mengajak saya makan malam bersama dan sering membawa saya keluar berjalan-jalan. Tidak dinafikan juga, awak turut membantu saya di dalam pelajaran. Sekiranya saya leka, awaklah yang menegur saya. Sekiranya saya lupa, awaklah yang mengingatkan saya. Terima kasih awak. Awak telah banyak menolong saya. Semakin lama kita semakin serasi. Ramai rakan-rakan yang mencemburui kita kerana kemesraan dan keserasian kita. Ada kawan-kawan kita yang mengata kita seperti belangkas. Kemana sahaja mesti berdua. Mungkin kerana kita menuntut di dalam jurusan yang sama menyebabkan kita banyak melakukan aktiviti bersama.

Dalam sedar tak sedar, kita pun tamat belajar. Maknanya dua tahun sudah kita berpasangan. Namun, kusangkakan panas hingga ke petang tetapi hujan di tengah hari. Selepas tamat belajar, kita sudah jarang menghubungi di antara satu sama lain. Bila saya menghantar sms, jarang sekali awak nak balas. Bila saya telefon awak, kadang-kadang awak jawab. Kadang awak abaikan sahaja panggilan telefon dari saya. Ada masanya saya merasa seperti awak sudah rimas dengan diri saya. Saya bukan seorang penyibuk awak. Tapi salahkah saya sekiranya saya hendak mengambil berat tentang orang yang saya sayang. Bila saya tanya dekat awak, kenapa tidak membalas sms saya, kenapa tidak jawab panggilan dari saya. Dengan selamba sahaja awak menjawab yang awak terlalu sibuk. Terlalu sibuk? Saya pun bekerja juga seperti awak. Tetapi saya ada masa juga untuk bertanya khabar berita tentang diri awak. Saya berasa pelik, kenapa awak berubah dalam sekelip mata sahaja. Apa salah saya awak sehingga awak mengenepikan saya sedemikian rupa.

Sejak tamat belajar, kita juga sudah jarang berjumpa. Walau rumah kita di dalam daerah yang sama, tetapi saya merasakan yang saya jauh nun di utara dan awak pula jauh nun di selatan. Boleh dikira dengan jari, hanya beberapa kali sahaja kita berjumpa. Bila saya ajak berjumpa, berbagai alasan yang awak beri pada saya. Sibuk bekerja la, ada kenduri di kampung la, ada saudara menikah la, dan macam-macam lagi. Mungkin sudah takdir Tuhan, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Rupanya selama ini, awak curang dengan saya. Awak bermain kayu tiga dengan gadis yang berkerja sama pejabat dengan awak. Tergamak awak menipu diri saya awak. Selama ini, saya terlalu setia kepada awak. Tetapi ini balasan awak terhadap kesetiaan yang saya berikan. Saya tahu awak terperanjat apabila bertembung dengan saya sewaktu awak berjalan-jalan membeli belah bersama wanita tersebut sambil berpegangan tangan. Waktu itu, awak berasa seperti serba salah apabila bertembung dengan saya. Untuk mengelak, sudah terlambat. Mahu tidak mahu, awak terpaksa juga berhadapan dengan saya. Ketika bertembung itu, saya cepat-cepat memandang ke arah lain. Saya tidak mahu melihat awak. Saya benci untuk melihat kemesraan awak dengan wanita tersebut.

Pulang dari pusat membeli belah tersebut, saya terus menguncikan diri saya di dalam bilik. Airmata yang saya tahan sudah tidak dapat dibendung lagi. Habis berjuraian membasahi bantal peluk saya. Telefon bimbit saya matikan kerana tidak mahu sebarang gangguan. Saya menangis sepuas-puasnya. Inilah satu kelemahan seorang wanita. Apabila berhadapan dengan situasi hati dan perasaan, hanya airmata yang menjadi teman. Selama seminggu saya matikan telefon dan seminggu jugalah saya mengambil cuti kecemasan kerana fikiran saya terlalu tertekan. Sehingga saya tidak mampu untuk membuat sebarang pekerjaan. Saya terlalu bodoh kerana terlalu mempercayai awak selama ini. Mulai saat ini, saya akan terus membenci awak.

Setelah seminggu saya bercuti, saya kembali tenang. Kembali semula saya ke pejabat, rakan pejabat saya memberitahu yang awak ada telefon ke pejabat. Bertanyakan diri saya. Difikiran saya, mengapa awak hendak mencari saya lagi. Awakkan sudah ada wanita itu. Mengapa harus disakiti lagi hati saya ini. Saya juga telah mengambil keputusan untuk berpisah sahaja dengan awak. Saya sudah tidak sanggup untuk meneruskan perhubungan ini. Saya juga tidak sanggup untuk terus membiarkan diri saya ditipu dan hati saya dipermainkan oleh awak dengan sesuka hati.

Pada malam itu, kita berjumpa untuk kali terakhir. Saya membawa semua barang-barang pemberian awak. Bagi saya buat apa lagi saya menyimpan semua barang-barang pemberian awak itu. Hanya membuat saya sakit mata dan sakit hati sahaja melihatnya. Semua itu sudah saya jadikan kenangan. Awak agak terkejut apabila saya memulangkan semula pemberian awak itu. Saya juga telah memberikan kata putus untuk berpisah dengan awak. Saya berharap kita tidak berjumpa lagi dan tidak menghubungi di antara satu sama lain. Saya mahu awak pergi jauh dari hidup saya. Awak sudah tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana saya sudah nekad dengan keputusan saya. Selepas itu, saya terus pergi meninggalkan awak tanpa menoleh kebelakang lagi.

Lepas malam itu, kita sudah tidak lagi bertemu. Awak dengan haluan hidup awak dan saya dengan haluan hidup saya. Kini saya berasa bahagia dengan kehidupan saya sekarang ini. Saya berasa lebih tenang dan aman di samping rakan-rakan dan keluarga tercinta. Saya berharap semua kebahagiaan ini akan berkekalan sampai bila-bila.
  • Cerita & watak adalah rekaan saya semata-mata....tiada kaitan dengan yang hidup mahupun yang telah meninggal dunia...sekian...

No comments:

Post a Comment